Teknologi Tanaman

LARANGAN MENGIMPORT BIJI BENIH GUARANA DARI BRAZIL DAN KAWASAN TROPIKA AMERIKA

Putrajaya, 26 Julai - Guarana (Paullinia cupana; Keluarga: Sapindaceae) merupakan tanaman herba yang berasal dari Venezuela dan Brazil Utara. Pokok Guarana memiliki daun besar, bunga berkelompok dan dikenali kerana buahnya yang merah dan saiznya sama seperti biji kopi. Ia digunakan sebagai diet tambahan dan penambah tenaga kerana mengandungi kandungan kafien dua kali lebih banyak daripada kafien yang terkandung dalam biji kopi (lebih kurang 2 - 4.5% kafien biji guarana berbanding 1 - 2% kafien biji kopi).

Cerita mengenai Guarana telah diwar-warkan di media massa (televisyen dan akhbar) baru-baru ini. Tanaman Guarana dikatakan dapat memberi hasil yang sangat tinggi berbanding getah dan kelapa sawit.

Hasil pemantauan Jabatan Pertanian mendapati Guarana telah dibawa masuk secara haram dan ditanam di Baling, Kedah. Di bawah Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981, pengimportan sesuatu tumbuhan dari kawasan Tropika Amerika di mana terdapat penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (SALB) pada tanaman getah adalah dilarang, kecuali untuk tujuan penyelidikan.

Pengimportan secara haram Guarana ke dalam negara dikhuatiri akan membawa masuk bersamanya spora penyakit SALB yang sangat merbahaya kepada industri getah negara. Spora SALB boleh menjangkiti tanaman getah muda yang akan menyebabkan pokok-pokok getah tumbuh bantut dan jika serangan pada pokok besar menyebabkan pokok meranting, kering dan pokok tidak dapat mengeluarkan hasil yang produktif serta seterusnya mati. Keadaan ini boleh melumpuhkan industri getah negara yang bernilai lebih RM18 bilion setahun.

Di bawah Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981, Jabatan Pertanian melarang pengimportan tumbuhan yang berasal daripada Brazil dan negara-negara SALB lain kecuali untuk tujuan penyelidikan. Ini adalah kerana Jabatan Pertanian tidak mahu mengambil risiko terhadap kemerebakan penyakit SALB yang boleh mengancam industri getah negara.