FAQ

Soalan dan Jawapan bagi soalan lazim untuk Laman Web Jabatan


1. Saya telah difahamkan bahawa teras perkhidmatan Jabatan Pertanian ialah Pengembangan Pertanian. Apakah yang dimaksudkan dengan Pengembangan Pertanian?

Pengembangan Pertanian bermaksud usaha/kerja yang terancang untuk memperkasakan kumpulan sasar melalui penyampaian maklumat dan teknologi yang sesuai dengan menggunakan kaedah-kaedah yang terkini yang terbukti berkesan.

 

2. Jabatan Pertanian terbahagi kepada dua entiti, iaitu Jabatan Pertanian Negeri dan Jabatan Pertanian Persekutuan. Apakah fungsi kedua-dua entiti tersebut?

Jabatan Pertanian Negeri (di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri) merancang serta melaksanakan Program/Projek Pengembangan Pertanian yang melibatkan kerja-kerja penyampaian maklumat dan teknologi. Agar Program/Projek Pengembangan Pertanian memberikan impak seperti yang disasarkan, program Pembangunan Sumber Manusia serta insentif dalam bentuk input pertanian diagihkan kepada golongan sasar yang berkelayakan

Jabatan Pertanian Persekutuan atau Cawangan-cawangan Teknikal (di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan) di negeri-negeri merupakan sumber rujukan maklumat-maklumat teknikal di bidang yang khusus (agronomi tanaman, perlindunagn tanaman dan pengurusan tanah) untuk membantu Jabatan Pertanian Negeri dalam melaksanakan dengan berkesan Program/Projek Pengembangan Pertanian. Selain itu, Jabatan Pertanian Persekutuan juga membantu Jabatan Pertanian Negeri dengan penyediaan pegawai dan insentif untuk pelaksanaan Program/Projek Pengembangan Pertanian.

Jabatan Pertanian Persekutuan juga melaksanakan penguatkuasaan beberapa akta yang telah diperuntukkan kepadanya.

 

3. Bagaimanakah cara untuk mendapatkan khidmat nasihat bagi projek pertanian di Jabatan Pertanian dan kawasan saya amnya (daerah SPU)?

Cara yang paling baik dan berkesan ialah dengan berjumpa Agen Pengembangan Kawasan yang kawasan pengendalian beliau merangkumi lokasi projek yang sedang atau yang akan tuan usahakan. Agen Pengembangan Kawasan di tempatkan di Pejabat-pejabat Pertanian Daerah di seluruh Negeri Pulau Pinang.

 

4. Apakah yang dimaksudkan dengan Industri Asas Tani?

Industri Asas Tani (IAT) ialah satu program yang memberi pulangan yang cepat serta memberi tambahan nilai yang tinggii kepada bahan mentah yang diproses.

 

5 Apakah insentif yang disediakan untuk kegiatan Industri Asas Tani (IAT)?

Insentif yang disediakan untuk mereka yang terlibat dengan IAT ialah latihan dan peralatan bagi mereka yang memenuhi keperluan dan kelayakan yang telah ditetapkan.

 

6. Apakah yang dimaksudkan dengan myGAP dan myORGANIC yang dikendalikan oleh Jabatan Pertanian?

myGAP

Satu skim pensijilan yang dirangka oleh Jabatan Pertanian pada tahun 2002 untuk memberi pengiktirafan kepada ladang-ladang yang mengamalkan APB berkonsepkan mesra alam sekitar, menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja bagi menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dan sesuai dimakan. myGAP merupakan penjenamaan semula bagi menggantikan Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM). Skim ini dibangun berpandukan Malaysian Standard MS 1784:2005 Crop Commodities – Good Agricultural Practice (GAP).

 

myORGANIC

Penjenamaan semula Skim Organik Malaysia (SOM) dalam memberi pengiktirafan kepada ladang yang diusahakan secara organik berpandukan Malaysian Standard MS 1529:2015 Plant-based organically produced foods-requirements for production, processing, handling, labelling and marketing (First Revision).

 

7. Bagaimanakah caranya saya untuk mendapatkan pengiktirafan myGAP?

Permohonan untuk mendapatkan persijilan myGAP boleh dibuat di mana-mana Pejabat Pertanian Daerah dengan menyempurnakan Borang Permohonan. Pihak pemohon akan diberi penerangan dan nasihat mengenai perkara-perkara yang perlu dilaksanakan di ladang terlibat sebelum kedatangan Pasukan Audit myGAP. Proses untuk pensijilan melibatkan kerja-kerja pemprosesan, permohonan, pemeriksaan ladang dan kawasan, verifikasi amalan ladang, analisis hasil ladang, penilaian dan kelulusan oleh Jawatankuasa.

 

8. Bagaimanakah caranya untuk memohon jawatan di Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang?

Cara permohonan untuk jawatan kosong di Jabatan Pertanian ialah melalui pengisian Borang SPA8 secara atas talian (online) atau borang tersebut boleh didapati di pejabat Jabatan Tenaga Kerja berhampiran.

 

9. Adakah Jabatan Pertanian menyediakan latihan bagi para pengusaha projek pertanian?

Ya. Pihak Jabatan Pertanian ada menyediakan latihan bagi para pengusaha projek pertanian. Kalendar dan borang kursus boleh di dapati di Pejabat-pejabat Pertanian Daerah, Ibu Pejabat atau dimuatturun dari Laman Web Rasmi Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang.

 

10.Adakah Jabatan Pertanian mengenakan caj bagi setiap kursus yang diadakan?

Ya. Caj akan dikenakan pada setiap kali menghadiri kursus dan bayaran yang dikenakan ialah sebanyak RM 15.00 sahaja bagi setiap peserta kursus.

Untuk Maklumat Lanjut Sila Hubungi Pegawai Berikut :

 

HAJI ABDUL HAMID BIN TAHIR

Bahagian Pengembangan Dan Perundingan Pelaburan

JABATAN PERTANIAN NEGERI PULAU PINANG JALAN KULIM,

CHEROK TOK KUN 14000 BUKIT MERTAJAM
NO.TELEFON : 04-5372144
NO.FAKSIMILI : 04-5372150