KETERANGAN AM

Nama Biasa : Ciku (Sapodilla)
Nama Tempatan : Ciku, Sawo
Nama Saintifik : Manilkara achras (Mill.) Foeberg.
Keluarga : Sapotaceae

Asal :
Ciku merupakan sejenis buah tropika yang berasal dari Amerika Tengah. Pokok ciku didapati ditanam di hampir semua negeri-negeri di kawasan tropika seperti India, Afrika, Kepulauan Indies, Filipina, Malaysia, kawasan tropika dan sub-tropika Amerika.

Kawasan Utama Tanaman :
Negeri-negeri utama penanaman ciku di Malaysia ialah Terengganu, Pahang, Perak, Johor dan Melaka.

Kegunaan :
Biasanya buah ciku enak dimakan segar dan merupakan buah yang berkhasiat. Buah ciku boleh diproses kepada beberapa jenis hasilan yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Kandungan Zat Makanan :

Kandungan Unit/100 g bybm
Tenaga 82 kcalories
Air 79.1 %
Protin 0.4 g
Lemak 0.8 g
Kabohidrat 18.4 g
Serat 0.9 g
Kalsium 16 mg
Fosforus 4 g
Besi (Fe) 21 mg
Kalium 31 mg
Karotin 130 mg
RE 22 mg
Vitamin B1 0.01 mg
Vitamin B2 0.06 mg
Niacin 2.8 mg
Vitamin C 6.5 mg

TANAMAN BOTANIA

Pokok :
Pokok ciku adalah pokok yang kecil hingga sederhana besar. Kanopinya berbentuk piramid semasa kecil dan agak bulat apabila dewasa. Pokok ciku mempunyai cabang yang rendah dan kadar pembesarannya rendah.

Daun :
Daun ciku agak tebal, berkilat dan berwarna hijau tua. Pucuk muda berwarna keperangan dan kesat. Daunnya tersusun secara berpusar di hujung ranting. Daun tua berbentuk bujur telur, tirus di hujung, berukuran antara 5 - 13 cm panjang dan 3 - 6 cm lebar. Tulang daun jelas kelihatan manakala urat-urat daun tidak begitu ketara.

Bunga :
Bunga ciku bersaiz kecil ( 1- 1.5 cm). Biasanya bunga terbit dari aksil daun dan kadang-kadang dari hujung ranting. Bunga mempunyai enam kelopak yang bercantum dan ditutupi dengan enam sepal berwarna keperangan.

Buah :
Bentuk buah ciku berbeza mengikut klon iaitu dari bulat hingga lonjong. Buah yang matang boleh mencapai saiz 5 - 8 cm panjang dan 4 - 6 cm lebar. Purata berat lebih kurang 120 g, kulitnya nipis, kasar dan berwarna coklat. Masa yang terbaik untuk petik buah ialah apabila buah itu matang dan boleh disimpan 3 - 5 hari. Isi buah yang masak adalah lembik, berwarna coklat. Beraroma, manis dan berair.

Biji :
Buah ciku mengandungi 1 - 6 biji benih dan berwarna hitam berkilat. Bijinya keras, berbentuk bujur leper dan tajam di hujungnya.

Kultivar / Klon :
Klon yang popular adalah C 62 (Jantung), C 61 (Betawi) dan C 63 (Subang). Klon-klon ini mempunyai perbezaan pada ciri-ciri buah seperti berikut :

Ciri-ciri
C63
C62
C61
Berat (g) 84-96 85-122 82-88
TSS (%) 19-22 18-21 16-21
Panjang (mm) 45-88 62-88 48-55
Garis pusat 46-52 48-54 50-58
Bil biji 1-4 1-3 2-5

KEPERLUAN TANAMAN

Cuaca :
Pokok ciku boleh hidup dengan baik di kawasan panas yang mempunyai kelempaban yang tinggi. Ianya sesuai ditanam di kawasan yang rendah dalam zon tropika. Dalam aspek agronomik pokok ciku tidak sangat bergantung kepada keadaan kering untuk mengeluarkan bunga.

Tanah :
Tanaman ciku boleh hidup dengan baik di pelbagai jenis tanah. Tanah yang subur, mempunyai bahan organik yang tinggi, saliran yang baik, pH yang hampir neutral adalah yang paling sesuai untuk tanaman ciku. Manakala di kawasan-kawasan lain seperti kawasan alluvial, lom berpasir, laterit dan tanah liat ringan juga sesuai untuk tanaman ciku.

AMALAN KULTUR

Bahan Tanaman :
Di Malaysia sebahagian besar daripada pokok ciku ditanam dengan menggunakan kaedah tut atau cantuman mata tunas atau cantuman sisi.

Jarak Tanaman :
Jarak tanaman yang paling sesuai adalah sistem empat segi iaitu 6m X 6m. Sistem ini menghasilkan sejumlah 278 pokok sehektar.

Menanam :
Pokok ciku biasanya ditanam dengan jarak 9m X 9m. Lubang berukuran 0.6 m X 0.6 m X 0.6 m digali dan dibiarkan selama 2 - 4 minggu. Sebanyak 5 - 10 kg bahan organik berserta 200 g CIRP dimasukkan kedalam lubang tanaman dan digaul rata. Anak pokok ditanam di tengah lubang, ditimbus dan dipadatkan pada pangkalnya.

Keperluan Naungan :
Naungan tidak sangat diperlukan oleh pokok ciku semasa kecil, akan tetapi sungkupan disekeliling pangkal pokok adalah diperlukan.

Pemangkasan :
Kebanyakan pokok ciku ditanam dengan menggunakan anak benih tut dan ini telah menghasikan pertumbuhan yang cepat pada dahan-dahannya berbanding pokok keseluruhannya. Oleh sebab itu adalah penting memangkas pokok ciku pada peringkat awal lagi. Pemangkasan dibuat supaya pokok dapat dibentuk bagi menyenangkan kerja-kerja pengurusan. Pemangkasan juga dapat mengurangkan serangan penyakit dan serangga pada pokok ciku.

Pembajaan :
Pembajaan yang disyorkan adalah seperti berikut :

Fasa Umur pokok(tahun) Jenis Baja Kadar
(kg/pokok/tahun)
Masa Pembajaan
  0 CIRP
Bahan Organik
0.2
5-10
Semasa menanam
Vegetatif 1
2
3
15 : 15 : 15
atau
15 : 15 : 6 : 4
0.5
1.0
2.0
3.0
4 kali setahun (terutama awal musim hujan)

 

Penghasilan

4
5
6 - 7
8 - 10
11 ke atas
12:12:17:2 + TE
atau
13:13:20:2 + TE
Bahan Organik
6
7
8
5 - 10 kg
4 kali setahun 3 kali setahun

Pengurusan Air :
Pokok ciku di Malaysia biasanya tidak diberi air, tetapi pada peringkat permulaan pertumbuhan adalah lebih baik diberi air sekiranya ada musim kemarau yang panjang. Bagi kawasan yang rendah saliran diperlukan bagi mengelak dari banjir berlaku.

PENGURUSAN PEROSAK

Penyakit :
Penyakit- penyakit utama bagi ciku adalah seperti berikut :

Penyakit
Tanda-Tanda
Kawalan
1.Cendawan angin (Corticum salmonicolor) Menyerang bahagian dahan, ranting dan batang. Maisilium warna merah jambu kelihatan di celah-celah Bahagian kulit , daun dan batang. Di peringkat serius , penyakit ini akan melingkari keseluruhan batang dan dahan dan boleh mengakibatkan pokok mati. Cantas ranting, dahan kecil yang diserang. Sapukan dengan racun kupram spt. Copper oxychloride pada batang atau dahan yang diserang dimana peringkat serangan kurang dari separuh lilitan
2. Jelaga Hitam (Aithaloderma setosum (Zimm) Boedijn) Serangan berlaku disebabkan kehadiran manisan yang dikeluarkan oleh serangga spt. kutu daun, teritip dan koyadi permukaan daun. Ranting dan dahan. Kawal serangga yang mengeluarkan manisan dgn. semburan minyak putih @ 0.1 %.
3. Penyakit puru (dikaitkan dengan bakteria Agrobacterium sp.) Menyerang dahan dan pucuk diman tisu menjadi bengkak dan berpuru. Guna racun kulat berkuprum.

Serangga :
Serangga utama tanaman ciku adalah seperti berikut :

Perosak Tanda-tanda Kawalan
1. Lalat Buah
(Bactrocera spp.)
Menyerang buah matang. Lalat betina mencucuk permukaan buah untuk bertelur. Larva keluar selepas 2-3 hari dan buah menjadi busuk dan berair. Guna methyl eugenol or promar sebagai umpan bersama malathion @ 1% a.i.
2. Pengorek buah
(Nephoterix pirates)
Menyerang buah muda. Larva mengorek buah dan terdapat frass berhampiran lubang yang dikorek. Amalan kultur yang sempurna.

Rumpai :
Rumpai boleh dikawal menggunakan jentera atau racun.

KEMATANGAN DAN MENGUTIP HASIL

Kematangan :
Pokok ciku biasanya mengeluarkan hasil pada tahun ke-2 hingga 3 selepas ditanam. Banyaknya buah yang terbentuk bergantung kepada kadar pendebungaan dan persenyawaan. Buah ciku matang dalam tempoh 9 - 10 bulan selepas berbunga.

Hasil :
Hasil pada peringkat awal pengeluaran adalah rendah dan meningkat apabila mencapai umur 10 tahun. Pokok ciku yang baik boleh mengeluarkan hasil sebanyak 180 - 240 kg sepokok sebulan.

Musim :
Pokok ciku mengeluarkan hasil sepanjang tahun, dan puncak pengeluaran hasil ialah dari bulan Jan-Feb dan dari bulan Okt-Nov.

Jambak Bunga/ Penjarangan Buah :
Penjarangan buah adalah penting bagi mendapat saiz buah yang seragam untuk dipasarkan. Penjarangan juga dapat membuang buah yang rosak. Adalah disyorkan tinggal 1 - 2 buah bagi satu tangkai.

Indeks Penuaian :
Buah yang matang sahaja dituai dan ciri-ciri fizikal yang menentukan kematangan adalah didapati pada kulit buah dan getahnya.

PENGENDALIAN LEPAS TUAI DAN PENYIMPANAN

Pengendalian Lepas Tuai :
Buah ciku seeloknya dituai dengan tangan. Buah yang dipetik di letakkan diatas guni bagi mengeluarkan getah sebelum dimasukan kedalam bakul plastik untuk dihantar ketempat pengumpulan. Buah ini dibersihkan dengan cermat dengan menggunakan air untuk membuang lelehan getah dan seterusnya dikeringkan.

Penyimpanan :
Buah yang telah dibersihkan boleh disimpan selama 7 - 8 hari pada suhu ambien (25 - 30°C) selepas digred mengikut peringkat kematangan.

EKONOMI

· Jumlah Kos Pengeluaran bagi 25 tahun ialah RM208,122.00
· Berdasarkan kepada harga ladang pada RM1.00/kg,
· NPV ( Nilai Kini Bersih) pada 10% ialah RM 41,077.00
· IRR ( Kadar Pulangan Modal) ialah 24% dan
· B/C Ratio pada 10% ialah 1.95.
· Titik Pulangan Modal ialah pada tahun kelapan
· Jumlah keuntungan ialah RM0.43/kg.