Skim dan Persijilan

Article Index

Amalan Pertanian Baik (APB)
Satu sistem pengurusan sumber di dalam pengeluaran pertanian secara baik dan lestari. Sistem ini dapat meningkatkan produktiviti ladang serta menghasilkan makanan yang selamat dan berkualiti dengan mengambilkira kebajikan, keselamatan dan kesihatan pekerja serta memelihara alam sekitar.


Malaysian Good Agricultural Practice (myGAP)
Satu skim pensijilan yang dirangka oleh Jabatan Pertanian pada tahun 2002 untuk memberi pengiktirafan kepada ladang-ladang yang mengamalkan APB berkonsepkan mesra alam sekitar, menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja bagi menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dan sesuai dimakan. myGAP merupakan penjenamaan semula bagi menggantikan Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM). Skim ini dibangun berpandukan Malaysian Standard MS 1784:2005 Crop Commodities – Good Agricultural Practice (GAP)

Skim Organik Malaysia (SOM)
Skim pensijilan yang dibangunkan oleh Jabatan Pertanian bagi memberi pengiktirafan kepada ladang yang mengamalkan perladangan organik berpandukan Malaysian Standard MS 1529:2001 The Production, Processing, Labeling & Marketing of Plant Based Organically Produced Food.

Malaysian Organic (myOrganic)
Penjenamaan semula Skim Organik Malaysia (SOM) dalam memberi pengiktirafan kepada ladang yang diusahakan secara organik berpandukan Malaysian Standard MS 1529:2015 Plant-based organically produced foods-requirements for production, processing, handling, labelling and marketing (First Revision).

Pengeksportan komoditi pertanian ke luar negara terutama bahan-bahan tanaman memerlukan pengesahan Sijil Fitosanitasi (SF) dari negara pengeksport iaitu bebas daripada perosak/penyakit dan tanah, untuk tujuan ini maka Sijil Fitosanitasi adalah satu keperluan untuk pengeksportan.

Skim Perakuan Pensijilan Fitosanitasi Malaysia (Skim MPCA) diwujudkan oleh Jabatan Pertanian untuk membolehkan Pemilik Ladang/Tapak Semaian, Pusat Pembungkusan dan Kilang pemproses hasil pertanian yang telah diperakui dalam Skim MPCA ini boleh mendapatkan/memohon SF tanpa perlu pemeriksaan kuarantin & penyeliaan rawatan oleh pegawai pemeriksa kuarantin di premis pengeksport atau di pejabat pengeluar SF.

Premis yang menghasilkan komoditi untuk eksport yang diperakui dalam Skim MPCA adalah merupakan premis yang ada kawalan perosak/penyakit yang sistematik dan dalam keadaan terkawal status perosak/penyakit dimana pemilik sendiri akan menjalankan pemeriksaan dan mendokumenkan aktiviti perakuan fitosanitasi, yang lazimnya dijalankan sendiri oleh Pegawai Pemeriksa Kuarantin.


 

Pewasapan merupakan kaedah rawatan yang digunakan dengan meluas di kebanyakan negara dalam menghapuskan perosak dan penyakit hasil tanaman. Walau bagaimanapun, kaedah pewasapan terutamanya yang menggunakan gas methyl bromide (CH3Br) diketahui mempunyai kesan negatif terhadap alam sekitar. Pewasapan masih dianggap sebagai kaedah yang sesuai untuk menangani perosak dan penyakit hasil tanaman. Protokol Montreal masih lagi membenarkan penggunaan methyl bromide dalam aktiviti pewasapan, terutamanya dalam rawatan "pre shipment" dan kuarantin.

Banyak negara mengkehendaki komoditi-komoditi tertentu difumigasi sebelum dieksport. Sebagai bukti dan pengesahan bahawa komoditi-komoditi tersebut telah melalui proses pewasapan, negara-negara pengimport memerlukan syarikat pewasapan atau badan pelulus sesebuah negara mengeluarkan sijil pewasapan yang mengesahkan dengan lengkap bahawa rawatan tersebut telah dijalankan terhadap komoditi berkenaan.

Pewasapan yang tidak efektif akan memberikan impak yang negatif terhadap perdagangan eksport dan integriti hasil produk pertanian Malaysia dipersoalkan di peringkat antarabangsa.

Malaysia komited dalam menangani isu pewasapan kuarantin yang tidak efektif untuk tujuan eksport. Sehingga kini, Malaysia telah mewujudkan Skim Akreditasi Pewasapan (dikenali sebagai Skim) untuk syarikat pewasapan yang menjalankan rawatan pewasapan untuk eksport dalam memastikan bahawa segala keperluan dan syarat pewasapan dipenuhi seiring dengan standard bertaraf dunia yang digariskan dalam Australia Methyl Bromide Fumigation Standard (disebut sebagai Standard).

 Skim Perakuan Rawatan Haba Malaysia (MAHTAS) adalah satu program yang ditawarkan oleh Jabatan Pertanian kepada syarikat-syarikat penyedia rawatan haba yang berminat untuk menjalankan kerja-kerja rawatan kuarantin ke atas kayu pembungkus Wood Packaging Materials (WPM) mengikut kehendak-kehendak piawaian antarabangsa (WTO dan ISPM 15).