KETERANGAN AM

Nama Biasa : Cempedak
Nama Saintifik : Artocarpus champeden Spreng
Keluarga : Moraceae

Asal :
Cempedak berkemungkinan besar berasal dari negera-negera di Asia Tenggara. Ia didapati hidup dengan baik di Malaysia, Thailand dan Singapura.

Kawasan Utama Tanaman :
Di Malaysia, cempedak didapati ditanam dengan meluas di negeri Kedah dan Perak.

Kegunaan :
Cempedak boleh dimakan segar, digoreng dan dibuat jam untuk kegunaan di dalam pembuatan kek.

Kandungan Zat Makanan :

Kandungan
Kandungan Zat / 100 gm
Tenaga 117.0 Kcal
Air 66.7 g
Protin 2.5 g
Lemak 0.4 g
Kabohidrat 25.8 g
Serat 3.4 g
Abu 1.2 g
Kalsium 40.0 mg
Fosforus 5.0 mg
Posporus 17.0 Mg
Besi (Fe) 1.1 mg
Natrium 1.2 mg
Kalium 246.0 mg
Carotene 80 ug
Vitamin B1 0.16 mg
Vitamin B2 0.15 mg
Niacin 0.5 mg
Karotin 2431 ug
Vitamin C 17.7 mg

TANAMAN BOTANIA

Pokok :
Pokok cempedak boleh mencapai ketinggian sehingga 25 m. Pokok ini mengandungi getah yang pekat berwarna putih. Batangnya tegak dan pendek. Pucuk baru, daun dan tangkai bunga dipenuhi dengan bulu yang halus dan tajam berwarna coklat.

Daun :
Daun cempedak berbentuk elliptik hingga obovat dan panjang 8 –21.5 cm dan lebar diantara 3 - 8.5 cm. Daun muda berlob, Daun berwarna pudar hingga sederhana hijau dan lazimnya mempunyai bulu urat daun dan kadang-kala pada tepi daun.

Bunga :
Bunga jantan dan bunga betina berasingan pada pokok yang sama. Jambak bunga jantan terdapat di ranting di hujung dahan, manakala jambak bunga betina terdapat di ranting pendek dan tegap pada dahan sisi utama dan batang pokok.

Buah :
Buah cempedak tergantung pada tangkai yang kuat dan agak gemuk. Apabila masak buah berbentuk bujur dan panjangnya 24-25 cm. Buah yang masak mempunyai bau yang kuat.

Kultivar / Klon :
Jabatan Pertanian telah mendaftar 36 klon cempedak. Di antaranya, hanya 3 klon yang disyorkan untuk ditanam secara komersil. Klon-klon tersebut adalah CH 28, CH 30 dan CH 33. Ciri-crinya adalah seperti berikut :

Klon
Berat/buah (kg)
Ciri-ciri
CH 28
2.5 - Berbentuk silinder.
- Beraroma sedikit.
- Tekstur halus, isi berwarna kuning dengan sedikit oren.
- Rasa manis dan berair.
CH 30
4.0 - Berbentuk silinder dan agak lebar.
- Aroma sederhana.
- Tekstur halus.
- Isi berwarna kuning oren.
- Rasanya manis.
CH 33
2.5 - Berbentuk silinder dan agak lebar.
- Hampir tidak beraroma.
- Tekstur halus dan isinya berwarna oren.
- Rasanya manis.

KEPERLUAN TANAMAN

Cuaca :
Cempedak boleh hidup dengan baik di tanah rendah tropika dengan hujan tahunan sebanyak 2540 mm dan suhu di antara 22°C-35 °C.

Tanah :
Cempedak boleh hidup di atas pelbagai jenis tanah yang disaliri dengan baik dan boleh tumbuh dengan baik di tanah aluvial yang dalam bertekstur terbuka. pH tanah ialah 4.5-6.5.

AMALAN KULTUR

Bahan Tanaman :
Cempedak biasanya dibiak dengan cara cantuman matatunas, cantuman baji dan cantuman sandingan.

Sistem Tanaman :
Sistem penanaman empat segi sama dan tiga segi adalah disyorkan. Jarak tanaman yang disyorkan ialah 9 m X 9 m yang boleh menghasilkan 123 pok/ hektar untuk sistem segi empat sama dan 138 pok/ha untuk segi tiga sama.

Menanam :
Lubang berukuran 60 cm X 60 cm X 60cm digali sebulan sebelum menanam dan 150 g CIRP ditabur kedalam lubang. 5-10 kg/lubang baja organan digaul bersama tanah atas dan dimasukkan semula ke dalam lubang. Buatkan lubang kecil di tengah lubang untuk ditanam dengan pokok cempedak. Letakkan anak pokok cempedak dalam lubang tersebut. Timbus tanah pada pangkal pokok dan tinggikan sedikit supaya nampak berbusut dipangkal. Berikan sokongan kayu dan siram pokok tersebut.

Pemangkasan :
Pemangkasan dibuat bertujuan memelihara kecerdasan pokok, memastikan edaran udara yang baik, membentuk pokok supaya seimbang dan seterusnya menggalak pengeluaran hasil. Pemangkasan melibatkan cantasan bahagian yang telah rosak akibat mati, patah, dan berpenyakit serta tunas air.

Penjarangan Buah :
Penjarangan buah dibuat untuk membuang buah yang luar biasa, berpenyakit dan bagi mengurangkan bilangan buah setangkai. Pejarangan dibuat bertujuan menghasilkan buah yang sihat, mempunyai bentuk yang menarik dan saiz buah buah yang seragam.

Pembajaan :
Pembajaan yang disyorkan adalah seperti berikut :

Peringkat Umur Pokok (Tahun) Jenis Baja Kadar
(kg/pokok/tahun)
Kekerapan
Semasa menanam 0 TSP
Organik
0.15
7.5
-
Vegetatif 1 15:15:15 atau 15:15:6:4 Organik 0.5
(10.0)
3-4
Vegetatif 2 15:15:15 atau 15:15:6:4 Organik 1.0
(10.0)
3-4
Penghasilan 3 12:12:17::2 + TE atau
13:13:20::2 + TE (Organik)
1.5
(15.0)
3-4
Penghasilan 4 12:12:17::2 + TE atau
13:13:20::2 + TE (Organik)
2.0
(15.0)
3-4
Penghasilan 5 12:12:17::2 + TE atau
13:13:20::2 + TE (Organik)
2.5
(20.0)
3-4
Penghasilan 6 12:12:17::2 + TE atau
13:13:20::2 + TE (Organik)
3.0
(30.0)
3-4
Penghasilan 7 12:12:17::2 + TE atau
13:13:20::2 + TE (Organik)
4.0
(40.0)
3-4
Penghasilan 8 12:12:17::2 + TE atau
13:13:20::2 + TE (Organik)
5.0
(40.0)
3-4
Penghasilan > 8 12:12:17::2 + TE atau
13:13:20::2 + TE (Organik)
5.0
(40.0)
3-4

Pengurusan Air :
Pokok cempedak perlu diberi air secukupnya bagi menggalakkan pertumbuhan kecergasan terutama pada peringkat awal pertumbuhan. Pokok cempedak boleh tahan keadaan kemarau, justeru itu ia tidak memerlukan sistem pengairan.

PENGURUSAN PEROSAK

Penyakit :
Penyakit yang sering menyerang cempedak adalah seperti berikut :

Penyakit
Tanda-tanda
Kawalan
Kulapok hitam
(Meliola nephelii)
- Kulat menutupi permukaan kulit buah dan daun.
- Ini menghalang fotosintesis dan seterusnya
  menghalang pembesaran buah.
- Kulat ini tumbuh bila ada manisan yang dihasilkan 
   oleh koya.
- Kawal koya pada pokok
  rambutan dengan menggunakan
  minyak putih pada kadar 1:50 
  bahagian air.
Reput akar dan batang (Phytophthora citrophthora) - Menyerang daun dan batang.
- Jika diserang pada pangka pokok
- akan layu.
- Jika diserang pada dahan daun akan menjadi 
  kuning dan gugur.
- Kikis kawasan yang diserang-
  sapu metalaxyl a.i. 0.2%
- Siram akar dengan metalaxyl.
- Suntik batang denga asid 
  fosforus.
Reput putik buah
(Rhizopus artocarpi)
- Putik buah menjadi hitam dan gugur. - Sembur dengan cuprous oxide 
   0.2%

Serangga :
Serangga yang biasa menyerang cempedak adalah seperti berikut :

Perosak
Tanda-tanda
Kawalan
Pengorek buah (Margaronia caesalis) - Larva mengorek buah dan hidup di dalam buah.
- Buah yang diserang mempunyai lubang dan fras 
  pada permukaan buah.
- Balut semua buah.
Pengorek batang
(Apriona flavescens Kamp)
- Ulat mengorek dahan dan menghala ke batang.
- Batang yang diserang mempunyai lubang dan fras di 
  permukaannya.
- Daun pada dahan tersebut menjadi kuning dan mati.
- Pangkas dan bakar dahan yang 
  diserang.
Lalat buah
(Bactrocera Umbrosus) (Bactrocera dorsata)
- Serangga membiak di dalam buah.
- Bintik coklat kelihatan pada buah
- Balut buah.
- Sembur promar sebagai 
  perangkap protein dan 
  kemudian sembur racun 
  serangga.

Rumpai :
Bersihkan kawasan keliling pokok pada peringkat awal pertumbuhan. Sungkupan adalah disyorkan bagi mengurangkan pertumbuhan rumpai di keliling pokok dan juga untuk mengekalkan kelembapan. Rumpai di antara barisan dikawal dengan bahan kimia atau dengan menanam kacang penutup bumi.

KEMATANGAN DAN MENGUTIP HASIL

Kematangan :
Pokok mula mengeluarkan hasil selepas 4 tahun ditanam.

Hasil :
Hasil pada tahun pertama pengeluaran buah (4 tahun selepas ditanam) dianggarkan 1,300 kg/ha. Dan biasanya boleh mencapai tahap pengeluaran yang maksimum 15,000 kg/ha pada tahun ke 19 selepas ditanam.

Musim :
Pokok cempedak merupakan jenis yang bermusim. Kawasan yang mempuyai dua musim kemarau yang nyata biasanya musim buah berlaku dua kali setahun dan jika hanya satu musim kemarau berlaku, didapati hanya satu musim buah berlaku. Musim cempedak biasanya pada bulan Jun - Ogos.

Indeks Penuaian :
Buah cempadak dipetik 94-105 hari selepas bunga kembang.

EKONOMI

Jumlah Kos Pengeluaran bagi 20 tahun ialah RM77,938.00

Berdasarkan kepada harga ladang pada RM1.00/kg
NPV ( Nilai Kini Bersih) pada 10% ialah RM15,378.00
IRR ( Kadar Pulangan Modal) ialah 20.36 % dan
B/C Ratio pada 10% ialah 1.53.