KETERANGAN AM

Nama Biasa : Rambutan
Nama Saintifik : Nephelium lappaceum
Keluarga : Sapindaceae

Asal :
Rambutan berasal dari kawasan Malaysia-Indonesia.

Kawasan Utama Tanaman :
Rambutan didapati ditanam dengan meluas di negeri Perak, Pahang, Kedah dan Kelantan.

Kegunaan :
Buah rambutan dimakan segar atau dikalingkan dan juga boleh dibuat jem.

Kandungan Zat Makanan :

Kandungan Kandungan / 100 gm yang boleh dimakan
Tenaga 59.9
Air 84.7%
Protin 0.7 g
Lemak 0.1 g
Kabohidrat 13.9 g
Serat 0.2 g
Kalsium 22.0 mg
Posporus 30.0 mg
Besi 2.5 mg
Thiamin 0.01 mg
Riboflavin 0.04 mg
Niacin 0.1 mg
Vitamin C 38.6 mg

TANAMAN BOTANIA

Pokok :
Mempunyai kanopi yang rimbun dan rendang dan boleh mencapai ketinggian sehingga 20 m.

Daun :
Daun rambutan adalah jenis kompaun tersusun berpasangan secara berselang-selang dan mempunyai 3-9 anak daun.

Bunga :
Bunga rambutan bersaiz kecil (0.5 cm lebar). Bunga-bunga ini terdapat dengan banyaknya dalam satu jambak bunga di hujung ranting. Bunga rambutan tidak mempunyai kelopak bunga, tetapi ada 4-6 sepal yang berwarna kuning muda dan berkilat serta tidak berbulu.

Buah :
Buah rambutan terdapat dalam satu tangkai di hujung ranting. Buah rambutan berbentuk bujur atau hampir bulat berukuran lebih kurang 5 cm. Buah muda berwarna hijau dan menjadi kunung atau merah apabila masak. Kulit buah mempunyai rambut berukuran 0.8-1.0 cm dan berwarna merah atau kuning. Kulit buah nipis dan senang dikopek dan tidak melekat pada isi. Isinya manis dan berjus.

Kultivar / Klon :

Klon Berat/buah
(g)
% Jumlah Pepejal Larut Ciri-Ciri
R134 41 24 Kulit berwarna merah. Isinya manis, tebal, sederhana pejal, lekang dan berjus.
R 156 39 19 Kulit berwarna kuning. Isinya tebal, sederhana manis dan pejal, berair dan lekang. Bentuk buah bulat.
R 162 42 20 Kulit berwarna merah kekuningan. Isi tebal, sederhana manis, tidak begitu berair dan lekang. Bentuk buah bujur.
R 167 44 - Kulit berwarna merah kekuningan. Isinya sederhana tebal, manis, pejal dan lekang. Bentuk buah bujur.
R 170 37 23 Kulit berwarna merah. Isinya manis, tebal, pejal dan lekang. Bentuk buah bulat-bujur.
R 191 35 15 Kulit berwarna merah. Isinya lembut, sederhana tebal,manis,kurang berair dan lekang. Bentuk buah bulat-bujur.
R 193 40 23 Kulit berwarna merah. Isinya manis, tebal dan pejal, serta berair dan lekang. Bentuk buah bujur.

KEPERLUAN TANAMAN

Cuaca :
Pokok rambutan sesuai ditanam di kawasan yang suhu optimanya di antara 26-28ºC, dengan purata hujan tahunan di antara 1700-2500 mm.

Tanah :
Penanaman rambutan sesuai ditanam di pelbagai jenis tanah di kawasan tropika dan pH tanah di antara 5.5-7.0.

AMALAN KULTUR

Bahan Tanaman :
Biasanya rambutan ditanam dengan menggunakan anak cantuman.

Jarak Tanaman :
Sistem penanaman empat segi sama adalah disyorkan. Sistem penanman yang lain seperti tiga segi sama dan quincunx juga boleh digunakan. Jarak tanaman ialah 9.0m X 9.0m yang boleh menghasilkan 123 pok/hektar untuk sistem segi empat sama, 142 pok/ha untuk segi tiga dan 246 pok/ha untuk sistem quincunx.

Menanam :
Lubang berukuran 60 cm X 60 cm digali sebulan sebelum menanam dan 200 g CIRP ditabur ke dalam lubang, 5-10 kg/lubang baja organan digaul bersama tanah atas dan dimasukkan semula ke dalam lubang. Buatkan lubang kecil di tengah lubang untuk ditanam dengan pokok rambutan. Letakkan anak pokok rambutan di lubang tersebut. Timbus tanah pada pangkal pokok dan tinggikan sedikit supaya nampak berbusut di pangkal. Berikan sokongan kayu dan siram pokok tersebut.

Cantasan :
Cantasan dibuat bagi membentuk pokok supaya seimbang, tidak terlalu rendah dan tidak terlalu tinggi. Cantas dahan dan ranting yang mati, berpenyakit serta tunas air yang tumbuh. Sistem pemangkasan terbuka adalah disyorkan untuk rambutan.

Pengurusan Air :
Pokok rambutan perlu diberi air secukupnya bagi menggalakkan pertumbuhan dan kecergasan terutama pada peringkat awal pertumbuhan dan pada musim kemarau.

PENGURUSAN PEROSAK

Penyakit :
Penyakit yang sering menyerang rambutan adalah seperti berikut :

Penyakit
Tanda-tanda
Pembasmian
Kulapuk berdebu
(Oidium nephelii)
- Sering berlaku pada buah muda yang
  belum berisi.
- Maisilium kulat menyaluti buah.
- Jika tidak dikawal buah akan merekah
  dan gugur sebelum masak.
- Mengawal rimbunan pokok melalui
  cantasan yang sempurna.
- Periksa setiap minggu bunga dan buah
  terutamnya di musim hujan.
- Jika perlu, sembur dengan racun kulat jenis
  sulfur pada kadar 0.1-0.2% bahan aktif.
Kulapuk hitam
(Meliola nephelii)
- Kulat menutupi permukaan kulit buah
  dan daun.
- Ini menghalang fotosintesis dan
  seterusnya menghalang pembesaran
  buah.
- Kulat ini tumbuh bila ada manisan yang
  dihasilkan oleh koya.
- Kawal koya pada pokok rambutan
  dengan menggunakan minyak putih pada
  kadar 1:50 bahagian air.
Cerana batang
(Dolabra nepheliae)
- Kulat menyerang batang dan ranting.
- Tanda serangan kulat ialah ada
  keruping pada dahan dan ranting
  pokok.
- Dapat dicegah sekiranya amalan kultur
  dibuat dengan sempurna.
- Pastikan ada peredaran udara.
- Cantas ranting yang diserang.

Serangga :
Serangga yang biasa menyerang rambutan adalah seperti berikut :

Perosak
Tanda-tanda
Pembasmian
Ulat lipat daun
(Adoxophyes privatana)
- Larva memakan dan menggulung
  daun muda
- Guna racun carbaryl 0.1% bahan
  aktif
Ulat buah rambutan
(Conopomorpha cramerella)
- Larva mengorek masuk melalui
  kulit berhampiran tangkai buah
  dan memakan di bawah kulit.
- Tanam buah yang rosak dan gugur.
- Sembur buah ketika muda dengan
  cyperrmethrin 0.1% a.i.
Kumbang pemakan daun
i. (Apogonia sp.)
ii. (Adoretus sp.)
iii. (Hypomeces squamosus)
i. memakan daun - berlubang
ii. memakan tisu dan urat daun 
    sahaja
iii. memakan daun - berlubang
- Sembur racun carbaryl pada kadar
  0.1% a.i.

Rumpai :
Bersihkan kawasan keliling pokok pada peringkat awal pertumbuhan. Sungkupan adalah disyorkan bagi mengurangkan pertumbuhan rumpai di keliling pokok dan juga mengekalkan kelembapan. Rumpai di antara barisan dikawal dengan bahan kimia atau dengan menanam kacang penutup bumi.

KEMATANGAN DAN MENGUTIP HASIL

Kematangan :
Buah rambutan mengambil masa 100-130 hari untuk matang ( dari bunga kembang hingga buah masak).

Hasil :
Pokok rambutan mula berbuah pada tahun ketiga selepas ditanam dengan anggaran hasil 2000 kg/ha. Penghasilan boleh meningkat sehingga 9000 kg/ha pada tahun kesembilan ke atas.

Musim :
Pokok rambutan boleh berbuah 2 kali setahun jika terdapat 2 musim kemarau. Musim utama biasanya berlaku pada bulan Jun-Ogos dan musim kedua pada bulan Disember-Januari.

Pengutipan Hasil :
Buah rambutan dipetik secara manual dengan menggunakan gunting panjang atau kacip. Biasanya buah dipetik pada waktu pagi atau petang semasa cuaca redup.

Indeks Penuaian :
Buah rambutan boleh dipetik apabila mencapai indeks kematangan 4 bagi kebanyakan klon ( warna bertukar merah atau oren) dan bertukar kuning kehijauan bagi klon R156.

MENGUTIP DAN PENYIMPANAN HASIL

Pasca Tuai :
Buah yang dikutip dikumpul dalam bakul rotan atau bakul plastik dan tidak didedah kepada cahaya matahari. Buah terus dihantar ke pusat pembungkusan dengan secepat mungkin untuk pemilihan. Buah yang rosak seperti busuk, muda atau terlalu masak diasingkan.

Pembungkusan :
Buah rambutan boleh dibungkus untuk pasaran eksport di dalam kotak corrugated fibre board atau tray foam.

Penyimpanan :
Tempoh simpanan bagi buah rambutan sangat pendek. Dari kajian yang dijalankan buah rambutan yang disimpan tanpa dibungkus pada suhu 10ºC dan R.H. 90-95% boleh bertahan sehingga sepuluh hari sahaja.

EKONOMI

Jumlah kos pengeluaran bagi 25 tahun ialah RM 56,356.00

Berdasarkan kepada harga ladang pada RM 1.13/kg,
Nilai Kini Bersih (NPV) pada 10% ialah RM 7339.00
Kadar Pulangan Modal (IRR) ialah 16% dan
B/C Ratio pada 10% ialah 1.36