Skim dan Persijilan

Article Index

 

Pewasapan merupakan kaedah rawatan yang digunakan dengan meluas di kebanyakan negara dalam menghapuskan perosak dan penyakit hasil tanaman. Walau bagaimanapun, kaedah pewasapan terutamanya yang menggunakan gas methyl bromide (CH3Br) diketahui mempunyai kesan negatif terhadap alam sekitar. Pewasapan masih dianggap sebagai kaedah yang sesuai untuk menangani perosak dan penyakit hasil tanaman. Protokol Montreal masih lagi membenarkan penggunaan methyl bromide dalam aktiviti pewasapan, terutamanya dalam rawatan "pre shipment" dan kuarantin.

Banyak negara mengkehendaki komoditi-komoditi tertentu difumigasi sebelum dieksport. Sebagai bukti dan pengesahan bahawa komoditi-komoditi tersebut telah melalui proses pewasapan, negara-negara pengimport memerlukan syarikat pewasapan atau badan pelulus sesebuah negara mengeluarkan sijil pewasapan yang mengesahkan dengan lengkap bahawa rawatan tersebut telah dijalankan terhadap komoditi berkenaan.

Pewasapan yang tidak efektif akan memberikan impak yang negatif terhadap perdagangan eksport dan integriti hasil produk pertanian Malaysia dipersoalkan di peringkat antarabangsa.

Malaysia komited dalam menangani isu pewasapan kuarantin yang tidak efektif untuk tujuan eksport. Sehingga kini, Malaysia telah mewujudkan Skim Akreditasi Pewasapan (dikenali sebagai Skim) untuk syarikat pewasapan yang menjalankan rawatan pewasapan untuk eksport dalam memastikan bahawa segala keperluan dan syarat pewasapan dipenuhi seiring dengan standard bertaraf dunia yang digariskan dalam Australia Methyl Bromide Fumigation Standard (disebut sebagai Standard).

 Skim Perakuan Rawatan Haba Malaysia (MAHTAS) adalah satu program yang ditawarkan oleh Jabatan Pertanian kepada syarikat-syarikat penyedia rawatan haba yang berminat untuk menjalankan kerja-kerja rawatan kuarantin ke atas kayu pembungkus Wood Packaging Materials (WPM) mengikut kehendak-kehendak piawaian antarabangsa (WTO dan ISPM 15).