DIAGNOSTIK TANAMAN
Jabatan Pertanian menyediakan perkhidmatan kepakaran agen-agen pengembangan dalam mengenalpasti dan mendiagnostik tanaman di ladang.
Pokok yang subur dapat memastikan pengeluaran hasil yang tinggi dan berkualiti. Bagi seorang petani, pokok yang subur adalah pokok yang tumbuh normal dan dapat mengeluarkan hasil yang tinggi dan berkualiti dalam tempoh dijangkakan. Bagi menentukan tahap kesuburan, ia boleh ditentukan dengan menilai prestasi pertumbuhan tanaman di ladang dan membandingkannya dengan rekod prestasi optimum tanaman berdasarkan pada petunjuk-petunjuk tertentu.
Selain daripada membuat perbandingan berasaskan pada petunjuk-petunjuk pertumbuhan, tahap kesuburan boleh juga ditentukan dengan memastikan sama ada pokok menunjukkan tanda yang memudaratkan atau tidak. Tanda-tanda ini atau simptom yang memudaratkan ini dapat dilihat pada daun, batang, bunga, buah atau akar. Perlu diingat bahawa tanda atau simptom adalah manifestasi pada masalah yang dialami oleh tanaman dan ini mungkin disebabkan sama ada oleh serangga, penyakit, kekurangan nutrien atau faktor alam sekitar yang tidak sesuai atau kombinasi elemen-elemen ini. Untuk melakukannya, ia memerlukan satu proses pencirian tanda dan pengenalpastian punca/penyebab.
Diagnostik tanaman adalah proses mengenalpasti punca atau penyebab kepada sesuatu masalah yang berlaku kepada tanaman. Tujuan Diagnostik adalah untuk mengenalpasti punca utama masalah dan memberikan syor pengurusan masalah tanaman.
Proses mendiagnos masalah tanaman melibatkan 2 langkah utama iaitu menilai prestasi pertumbuhan tanaman berdasarkan petunjuk-petunjuk pertumbuhan dan mengenal pasti punca masalah berdasarkan simptom.
- Penilaian Prestasi Pertumbuhan adalah untuk menentukan sama ada pokok buah-buahan mempunyai prestasi pertumbuhan yang optimum dengan menggunakan beberapa petunujuk seperti umur pokok, ketinggian pokok, ukur lilit batang utama, saiz kanopi, tahun mengeluarkan hasil dan jumlah hasil.
- Mengenalpasti Masalah dan Punca Masalah iaitu keadaan keseluruhan ladang dan keadaan fizikal pokok.