Teknologi Tanaman

APLIKASI AGRIMATHS, 100 TIP TANAMAN RUJUKAN PETANI

agrimath

SERDANG : Jabatan Pertanian hari ini melancarkan dua aplikasi mudah alih, AgriMaths dan 100 Tip Tanaman sebagai rujukan dan panduan ringkas menjadi petani moden.

Dua aplikasi berkenaan dibangunkan daripada buku Asas Matematik Pertanian yang diterbitkan Jabatan Pertanian sejak 2014. Pelancaran aplikasi di bawah projek e-Pengembangan Pertanian itu disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan, sebentar tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek, berkata aplikasi berkenaan boleh dimuat turun secara percuma di Google Play untuk telefon pintar Android dan App Store (iPhone).

Beliau berkata sejak diperkenalkan April lalu, sebanyak 2,044 pengguna memuat turun aplikasi AgriMaths dan 100 Tip Tanaman (1,289 pengguna).

"Aplikasi AgriMath adalah pemudah cara memulakan tanaman seperti kiraan jumlah biji benih, jarak tanaman, aliran kewangan dan kejuruteraan pertanian.

"Aplikasi 100 Tip Tanaman adalah kaedah pertanian moden menggunakan lima jenis baja cecair Natural Farming (NF) seperti baja organik daripada tulang, kulit telur dan buah-buahan," katanya.

Beliau berkata pada sidang media Majlis Pelancaran Aplikasi Mudah Alih dan Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Pertanian, di sini.

Ahmad Zakaria berkata, aplikasi itu dijangka menjadi alternatif kepada orang ramai bercucuk tanam untuk kegunaan sendiri selain, untuk tujuan komersial.

"Aplikasi ini mudah dan senang dipelajari. Kita berhasrat lebih ramai graduan pertanian dan individu menganggur memanfaatkan aplikasi ini sebagai langkah bergelar usahawan," katanya.

Sumber: BH Online | Oleh Nadia Hamid This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.